Khamis, 24 Januari 2013

ISU UMUM : Budayakan penjagaan keselamatan di kawasan air


 Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

KITA tidak boleh mengabaikan peningkatan bilangan kematian akibat lemas di negara ini setiap tahun. Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, bilangan kes mati lemas adalah 386 kes pada tahun 2011 manakala bagi tempoh 10 bulan pertama tahun lepas, bilangan kes yang dicatatkan adalah 322.

Wujud keperluan bagi Malaysia untuk memberi perhatian berat terhadap peningkatan bilangan kes mati lemas di negara ini sama ada di pantai atau di tempat-tempat lain dengan mengambil langkah-langkah proaktif untuk mencegah lebih banyak kematian serta meningkatkan keselamatan bukan sahaja di pantai malah di merata tempat lain kejadian mati lemas mungkin berlaku.

Sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk menubuhkan sebuah pusat data kebangsaan mengenai kematian akibat lemas di air yang merangkumi maklumat seperti jantina, kumpulan umur, lokasi dan punca lemas melalui pihak berkuasa yang berkaitan supaya kita boleh menguruskan masalah ini dengan lebih baik.

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan lemas di air seperti akses yang tidak terhad untuk ke pantai, kekurangan pengetahuan dan kefahaman mengenai keadaan air, kecuaian, pengabaian atau salah anggapan terhadap tahap bahaya di air, ketiadaan penyeliaan visual yang berterusan, terutamanya kekurangan kesedaran dan pendidikan keselamatan di air serta tahap pengetahuan individu terhadap kepakaran penyelamat dan menyelamat diri.

Strategi pengurusan keselamatan dan risiko adalah penting untuk memastikan pengurangan kematian disebabkan lemas di air. Pelaksanaan program pengurusan risiko yang berkesan boleh mengurangkan insiden kematian tersebut.

Ia adalah tanggungjawab pertubuhan-pertubuhan, agensi dan pihak berkuasa berkaitan ke atas kawasan pantai untuk mengenal pasti dan sebaik-baiknya meminimumkan risiko kecederaan atau kematian kerana lemas. Tanggungjawab ini tidak cukup dengan hanya memasang papan tanda atau menyediakan peralatan keselamatan.

Kita harus menyediakan penyeliaan yang baik terhadap kawasan pantai dan kawasan tarikan air yang lain serta menyokong peruntukan undang-undang yang mewajibkan penggunaan alat pengapungan peribadi supaya dipakai semua orang semasa aktiviti air dan mendidik ibu bapa tentang keperluan untuk pengawasan rapi semasa anak-anak di pantai atau di kolam renang hotel.

Selain itu, pendidikan mengenai amalan-amalan keselamatan semasa menjalankan aktiviti air dan keupayaan membuat keputusan selamat mengenai aktiviti berkaitan air serta mampu menguruskan bahaya yang berkaitan dengan aktiviti air adalah antara strategi pencegahan yang kita perlu amalkan.

Saya telah bertemu dengan Presiden Persatuan Penyelamat Malaysia pada akhir tahun lalu untuk membincangkan perkara ini dan kami telah bersetuju bahawa masanya telah tiba bagi penubuhan Majlis Keselamatan Air Kebangsaan untuk membantu kerajaan demi mengurangkan kejadian lemas dan menggalakkan budaya keselamatan di kawasan air bagi rakyat Malaysia.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan